Jerawat ambil masa untuk sembuh
Jerawat walaupun mungkin berlaku pada tahap ringan, sederhana atau teruk tidak seharusnya dipandang ringan kerana boleh memberi beberapa masalah seterusnya yang mungkin lebih rumit. Jika tidak dirawat ia boleh melarat dan menjadi bertambah teruk hingga ke tahap sukar dikawal.
Dalam proses kita menjaga kecantikan kulit daripada jerawat, pepatah`mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’ tepat sekali. Ini kerana pertama jerawat sukar dikawal dan melarat menjadi masalah yang memerlukan perhatian pakar kulit. Kedua, walaupun jerawat sembuh sepenuhnya ia meninggalkan beberapa masalah lain.
Kulit menjadi berlubang dan kelihatan kasar dan kehadiran tompok hitam bekas jerawat menyebabkan kulit kelihatan kotor. Saya anggap apabila ini terjadi ia menjadi masalah kosmetik kerana wanita yang mengalami masalah ini perlu melindungi kecacatan pada kulit muka mereka dengan menggunakan bahan solekan. Oleh itu menghalang daripada berlaku jerawat adalah langkah utama menjaga kecantikan kulit.
Implikasi terhadap sosial dan psikologi masalah jerawat
Secara tidak disedari, jerawat boleh membawa komplikasi sosial dan psikologi. Oleh itu, tidak ramai pakar perubatan yang memberi rawatan memikirkan implikasi jerawat terhadap faktor psikologi dan sosial. Masalah jerawat biasanya berlaku pada individu dalam lingkungan belasan tahun yang mula mengenali alam sosial dan mempelajari cara berinteraksi dengan masyarakat di sekitarnya.
Walaupun tidak banyak kajian mengenai topik ini di negara kita, kajian di Barat menunjukkan masalah jerawat banyak mempengaruhi pembangunan psikologi individu yang mengalami masalah ini. Sementara itu, tekanan juga menjadi salah satu faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada masalah jerawat.
Banyak laporan perubatan menunjukkan masalah jerawat yang serius boleh menjadikan seseorang resah dan bukti menunjukkan ia juga boleh menimbulkan tekanan kepada individu yang mengalaminya. Ini secara tidak langsung mempengaruhi peribadi individu yang mengalaminya dan keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai akan hilang.
Dalam kajian di Amerika Syarikat beberapa soalan diajukan kepada 2000 rekrut tentera berusia antara 18 hingga 19 tahun untuk menilai tanggapan mereka terhadap pesakit yang mempunyai masalah jerawat. Kajian ini menunjukkan wujud perasaan tidak gemar bercampur dengan rekrut baru yang mengalami masalah jerawat yang serius (jerawat jenis acne vulgaris).
Kajian ini menunjukkan masalah jerawat yang serius mempengaruhi status sosial, psikologi dan juga keselesaan seseorang untuk bekerja. Hakikatnya, kewujudan nanah pada jerawat di seluruh muka, atau parut bekas jerawat yang hitam menampakkan seseorang tidak bersih dan mungkin bagi sesetengah orang, ia menjijikkan. Ini jelas mempengaruhi peluang pekerjaan seseorang lebih-lebih lagi dalam bidang kesetiausahaan, salun kecantikan, butik, penyambut tetamu, jurujual dan lebih lagi yang membabitkan barangan kesihatan dan kosmetik.
Kajian juga menunjukkan banyak masa terbuang oleh individu yang mengalami jerawat. Mereka berada di depan cermin lebih lama berbanding individu biasa dan mencari penawar jerawat mereka. Dalam kajian di Amerika, kesengsaraan fizikal dan emosi ini dapat dilihat apabila ada kesmajikan tidak membenarkan pekerja keluar untuk temu janji dengan doktor bagi merawat jerawat.
Hakikatnya, ini berlaku kerana tidak ramai majikan yang memahami jerawat terutama pada tahap serius ialah penyakit kulit yang memerlukan perhatian pakar seperti penyakit lain. Wujud juga kes remaja mengasingkan diri selepas diperli oleh rakan. Contohnya, rakan mempermainkan remaja yang sengsara kerana jerawat dengan menyatakan: “Jika perempuan yang kau sukai hendak memberi ciuman kepada kamu, beliau harus menghisap tompok nanah di muka kamu”. Dalam kajian lain, temubual dan pengakuan beberapa pesakit yang mengalami jerawat serius memang menyedihkan. Antara pengakuan mereka: “Ketika berkomunikasi saya tidak dapat bertentang mata dengan seseorang. Saya tidak untuk pergi membeli-belah kerana saya rasa seolah-olah semua orang melihat pada muka saya.”
Jerawat boleh menimbulkan masalah sosial pada seseorang bukan perkara yang diragukan lagi. Lebih setengah daripada pesakit yang menerima rawatan jerawat yang ditemubual menyatakan mereka berasakan rakan di sekeliling tidak bersimpati dan tidak menyukai mereka. Dalam hal ini, ramai wanita yang cuba melindungi jerawat dan kewujudan tompok nanah di muka mereka dengan menggunakan alat solek, tetapi ramai berpendapat percubaan ini tidak begitu berkesan, kerana kadang-kadang ia boleh menyebabkan masalah jerawat menjadi semakin serius.
Menangani masalah jerawat
Mungkin ramai individu menganggap masalah jerawat yang serius sebagai situasi seolah-olah mereka tidak ada harapan untuk melihat kulit muka kembali sempurna. Beberapa perkara penting yang harus kita tekankan pada pesakit yang mengalami jerawat ialah:
i. Jerawat ialah penyakit kulit yang boleh disembuhkan.
Tidak ada individu sebelum ini yang mengalami jerawat yang tidak boleh dirawat. Jika rawatan yang diterima sesuai, hanya masa yang menentukan bila ia sembuh.
ii. Kita harus faham jerawat ialah penyakit kulit yang memberi reaksi secara perlahan terhadap rawatan yang diberikan. Tidak ada jerawat yang boleh sembuh pada masa satu atau dua minggu. Ia mungkin memakan masa sekurang-kurangnya beberapa bulan.
2. Right-Click then Copy
3. Paste the HTML code into your webpage










