Kualiti tidur malam penting untuk kesegaran siang hari
Sebagai usaha mendapat pencapaian terbaik dalam apa saja aktiviti, kita harus sentiasa berwaspada ketika melakukan kegiatan itu. Kewaspadaan pada tahap optimum akan membantu menerima maklumat dengan baik dan seterusnya memudahkan kita memikir secara rasional dan bertindak dengan berkesan.
Semua ini memerlukan minda berfungsi dengan baik dan jika kita mengantuk terutama ketika sesuatu taklimat sedang disampaikan, kemungkinan besar kita akan mendapati sukar untuk memproses maklumat itu.
Oleh itu, proses pembelajaran ketika itu tidak berkesan dan untuk menjadi seorang pelajar cemerlang, satu daripada faktor pengaruh yang penting adalah mengekal tahap kewaspadaan sebaik mungkin ketika belajar.
Begitu juga dengan mereka yang sedang bekerja. Bagi mencapai peningkatan terbaik dalam sebarang tugas, tahap kewaspadaan turut mempunyai fungsi penting.
Seperti kita semua maklum, untuk mendapat tahap kesegaran pada siang hari, kualiti tidur pada waktu malam adalah syarat paling penting sekali. setiap individu sudah ada satu sistem iaitu seseorang itu akan berasa mengantuk pada waktu malam dan harus tidur buat seketika dan bangun semula pada siang hari untuk kerja-kerja yang sedang menanti. Kitaran ini sudah menjadi lumrah pada kita semua dan kitaran ini dikawal oleh suatu ritma yang dikenali ritma sirkadian.
Ia seperti jam yang ditentukan masanya, iaitu seseorang itu akan tidur dan bangun semula. Penentuan seperti jam ini boleh terganggu apabila seseorang menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan sama ada di rumah atau di luar rumah, seperti di sekolah dan di pejabat.
Generasi muda yang mengalami masalah ini, contohnya, remaja kerap membuat aduan mereka cuba tidur awal pada sebelah malam tetapi tidak mengantuk, oleh itu mereka mendapati sukar bangun pagi untuk ke sekolah dan apabila ke sekolah mereka mungkin berasa terlalu mengantuk dan boleh tertidur dalam kelas ketika guru mengajar.
Pernah berlaku situasi iaitu seorang remaja hanya boleh tidur apabila jam tiga pagi dan hanya bangun pada jam sebelas pagi. Bayangkan masalah persekolahan yang mungkin berlaku jika tabiat tidur seperti ini berterusan. Fenomena seperti ini berlaku kerana ada gangguan ritma sirkadian yang menyebabkan sindrom kelewatan fasa tidur atau dalam bahasa Inggeris disebut delayed sleep phase syndrome (DSPS).
Ada beberapa perkara yang boleh menyebabkan permasalahan ini dan antaranya adalah berkaitan tekanan perasaan, tidak senang ketika di sekolah atau tempat kerja bagi mereka yang berkerja, penukaran pekerjaan, membuat kerja syif dan terlalu banyak kerja lebih masa.
Ramai yang mengalami DSPS turut mengalami gangguan depresi. Ada kajian yang mengatakan 75 peratus daripada mereka yang mengalami permasalahan ini menunjukkan tanda-tanda gangguan depresi. Jika seseorang itu dirawat untuk memulihkannya daripada permasalahan ini, gangguan depresi yang dialami akan beransur pulih.
Penemuan seperti ini mengemukakan pendapat permasalahan tidur DSPS yang menyebabkan depresi dan bukan sebaliknya. Kajian yang dibuat di luar negara menunjukkan prevalen permasalahan DSPS adalah 7.3 peratus dan ada juga tanda-tanda ia berkaitan dengan keturunan.Dari aspek rawatan, penggunaan cahaya yang terang ketika waktu pagi dan ubat-ubatan seperti melatonin yang dimakan pada waktu malam boleh membantu mempercepatkan berasa mengantuk.
Oleh itu orang terbabit akan dapat tidur lebih awal lagi. Apabila kitaran tidur menjadi normal semula, masalah kesukaran hendak tidur dan kesukaran bangun dari tidur tidak akan berlaku lagi. Walaupun beberapa pendekatan boleh dibuat bagi mengatasi permasalahan tidur seperti ini, setiap individu harus memahami hasrat dan usaha berterusan menangani sesuatu cabaran yang dihadapi memerlukan ketabahan dan kemahiran yang bersesuian.
Bergantung pada ubat-ubatan saja tidak memadai. Dengan peredaran masa setiap individu mempelajari kekuatan dan kelemahan yang ada padanya dan dengan kesedaran seperti inilah seseorang itu dapat menyesuaikan diri dengan kehendak persekitaran.
Warga tua juga kadangkala tidur terlalu awal dan mereka akan bangun pada awal pagi. Contohnya, mereka yang terbabit boleh mula tidur antara jam 7 malam hingga 9 malam dan bangun pada jam 3 pagi atau 5 pagi. Fenomena ini menunjukkan kitaran tidur beransur ke hadapan dan dalam bahasa Inggeris disebut advanced sleep phase syndrome (ASDS). Permasalahan tidur seperti ini mendapat banyak perhatian daripada penyelidik di negara Barat dan pertemuan terkini membuktikan ada gen yang mengawal kitaran tidur.
Permasalahan tidur adalah satu bidang yang mencabar pada pengamal perubatan. Masih banyak lagi perkara yang berkaitan dengan tidur belum diterokai.
Setiap penyelidikan sama ada dari aspek klinikal atau molekul akan dapat membantu kita memahami fenomena ini.Adalah diharapkan dengan adanya minat mengenai bidang permasalahan tidur ini, ramai lagi penyelidik tanah air yang akan mempelopori kajian bersesuaian supaya pertemuan dan hasil berfaedah dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukannya.
Prof Dr Syed Hassan Ahmad al-Mashoor
2. Right-Click then Copy
3. Paste the HTML code into your webpage









